Syurga
yang serba nikmat
Segala kesenangan ada di dalamnya. Semua tersedia apa saja yang
diinginkan, tanpa bersusah payah memperolehinya. Sungguh suatu tempat yang amat
indah dan permai, menjadi idaman setiap insan. Demikianlah menurut riwayat,
tatkala Allah SWT. selesai mencipta alam semesta dan makhluk-makhluk lainnya,
maka dicipta-Nya pula Adam ‘alaihissalam sebagai manusia pertama. Hamba yang
dimuliakan itu ditempatkan Allah SWT di dalam Syurga (Jannah).
Adam a.s hidup sendirian dan
sebatang kara, tanpa mempunyai seorang kawan pun. Ia berjalan ke kiri dan ke
kanan, menghadap ke langit-langit yang tinggi, ke bumi terhampar jauh di
seberang, maka tiadalah sesuatu yang dilihatnya dari mahkluk sejenisnya kecuali
burung-burung yang berterbangan ke sana ke mari, sambil berkejar-kejaran di
angkasa bebas, bernyanyi-nyanyi, bersiul-siul, seolah-olah mempamerkan
kemesraan.
Adam a.s terpikat melihatnya, rindu berkeadaan
demikian. Tetapi sungguh malang, siapalah gerangan kawan yang hendak diajak. Ia
merasa kesepian, lama sudah. Ia tinggal di syurga bagai orang kebingungan,
tiada pasangan yang akan dibujuk bermesra sebagaimana burung-burung yang
dilihatnya.
Tiada pekerjaan sehari-hari
kecuali bermalas-malas begitu saja, bersantai berangin-angin di dalam taman
syurga yang indah permai, yang ditumbuhi oleh bermacam bunga-bunga kuntum
semerbak yang wangi, yang di bawahnya mengalir anak-anak sungai
bercabang-cabang, yang desiran airnya bagai mengandung pembangkit rindu.
Adam kesepian
Apa saja di dalam syurga
semuanya nikmat! Tetapi apalah erti segalanya kalau hati selalu gelisah resah
di dalam kesepian seorang diri?
Itulah satu-satunya
kekurangan yang dirasakan Adam a.s di dalam syurga. Ia perlu kepada sesuatu,
iaitu kepada kawan sejenis yang akan mendampinginya di dalam kesenangan yang
tak terhingga itu. Kadangkala kalau rindu dendamnya datang, turunlah ia ke
bawah pohon-pohon rendang mencari hiburan, mendengarkan burung-burung bernyanyi
bersahut-sahutan, tetapi aduh hai kasihan…bukannya hati menjadi tenteram, malah
menjadi lebih tertikam. Kalau angin bertiup sepoi-sepoi basah di mana
daun-daunan bergerak lemah gemalai dan mendesirkan suara sayup-sayup, maka
terkesanlah di hatinya keharuan yang begitu mendalam; dirasakannya sebagai
derita batin yang tegak di sebalik nikmat yang dianugerahkan Tuhan kepadanya.
Tetapi walaupun demikian,
agaknya Adam a.s malu mengadukan halnya kepada Allah SWT. Namun, walaupun Adam
a.s malu untuk mengadu, Allah Ta’ala sendiri Maha Tahu serta Maha Melihat apa
yang tersembunyi di kalbu hamba-Nya. Oleh itu Allah Ta’ala ingin mengusir rasa
kesepian Adam.
Hawa diciptakan
Tatkala Adam a.s sudah berada
di puncak kerinduan dan keinginan untuk mendapatkan kawan, sedang ia lagi duduk
terpekur di atas tempat duduk yang berlapiskan tilam permaidani serba mewah,
maka tiba-tiba ngantuk pun datanglah menawannya serta langsung membawanya
hanyut ke alam tidur.
Adam a.s tertidur nyenyak,
tak sedar kepada sesuatu yang ada di sekitarnya. Dalam saat-saat yang demikian
itulah Allah SWT menyampaikan wahyu kepada malaikat Jibril a.s untuk mencabut
tulang rusuk Adam a.s dari lambung sebelah kiri. Bagai orang yang sedang
terbius, Adam a.s tidak merasakan apa-apa ketika tulang rusuknya dicabut
oleh malaikat Jibril a.s.
Dan oleh kudrat kuasa Ilahi
yang manakala menghendaki terjadinya sesuatu cukup berkata “Kun!” maka
terciptalah Hawa dari tulang rusuk Adam a.s, sebagai insan kedua penghuni
syurga dan sebagai pelengkap kurnia yang dianugerahkan kepada Adam a.s yang
mendambakan seorang kawan tempat ia boleh bermesra dan bersenda gurau.
Pertemuan Adam dan Hawa
Hawa duduk bersandar pada
bantal lembut di atas tempat duduk megah yang bertatahkan emas dan
permata-permata bermutu manikam, sambil terpesona memperhatikan kecerahan wajah
dari seorang lelaki kacak yang sedang terbaring, tak jauh di depannya.
Butir-butir fikiran yang
menggelombang di dalam sanubari Hawa seolah-olah merupakan arus-arus tenaga
elektrik yang datang mengetuk kalbu Adam a.s, yang langsung menerimanya sebagai
mimpi yang berkesan di dalam gambaran jiwanya seketika itu.
Adam terjaga….! Alangkah terkejutnya
ia ketika dilihatnya ada makhluk manusia seperti dirinya hanya beberapa langkah
di hadapannya. Ia seolah tak percaya pada penglihatannya. Ia masih terbaring
mengusap matanya beberapa kali untuk memastikan apa yang sedang dilihatnya.
Hawa yang diciptakan lengkap
dengan perasaan malu, segera memutar badannya sekadar untuk menyembunyikan
bukit-bukit di dadanya, seraya mengirimkan senyum manis bercampur manja,
diiringi pandangan melirik dari sudut mata yang memberikan sinar harapan bagi
hati yang melihatnya.
Memang dijadikan Hawa dengan
bentuk dan paras rupa yang sempurna. Ia dihiasi dengan kecantikan, kemanisan,
keindahan, kejelitaan, kehalusan, kelemah-lembutan, kasih-sayang, kesucian,
keibuan dan segala sifat-sifat keperibadian yang terpuji di samping bentuk
tubuhnya yang mempesona serta memikat hati setiap yang memandangnya.
Ia adalah wanita tercantik
yang menghiasai syurga, yang kecantikannya itu akan diwariskan turun temurun di
hari kemudian, dan daripadanyalah maka ada kecantikan yang diwariskan kepada
wanita-wanita yang datang dibelakangnya.
Adam a.s pun tak kurang gagah
dan kacaknya. Tidak dijumpai cacat pada dirinya kerana ia adalah satu-satunya
makhluk insan yang dicipta oleh Allah SWT secara langsung tanpa perantaraan.
Semua kecantikan yang
diperuntukkan bagi lelaki terhimpun padanya. Kecantikan itu pulalah yang
diwariskan turun temurun kepada orang-orang di belakangnya sebagai anugerah
Allah SWT kepada makhluk-Nya yang bergelar manusia. Bahkan diriwayatkan
bahawa kelak semua penduduk syurga akan dibangkitkan dengan pantulan dari
cahaya rupa Adam a.s.
Adam a.s bangkit dari
pembaringannya, memperbaiki duduknya. Ia membuka matanya, memperhatikan dengan
pandangan tajam. Ia sedar bahawa orang asing di depannya itu bukanlah bayangan
selintas pandang, namun benar-benar suatu kenyataan dari wujud insani yang
mempunyai bentuk fizikal seperti dirinya. Ia yakin ia tidak salah pandang. Ia
tahu itu manusia seperti dirinya, yang hanya berbeza kelaminnya saja. Ia serta
merta dapat membuat kesimpulan bahawa makhluk di depannya adalah perempuan. Ia
sedar bahawa itulah dia jenis yang dirindukannya. Hatinya gembira, bersyukur,
bertahmid memuji Zat Maha Pencipta.
Ia tertawa kepada gadis
jelita itu, yang menyambutnya tersipu-sipu seraya menundukkan kepalanya dengan
pandangan tak langsung, pandangan yang menyingkap apa yang terselit di
kalbunya.
Adam terpikat
Adam terpikat pada rupa Hawa
yang jelita, yang bagaikan kejelitaan segala puteri-puteri yang bermastautin di
atas langit atau bidadari-bidadari di dalam syurga.
Tuhan menanam asmara murni
dan hasrat berahi di hati Adam a.s serta menjadikannya orang yang paling asyik
dilamun cinta, yang tiada taranya dalam sejarah, iaitu kisah cinta dua insan di
dalam syurga. Adam a.s ditakdirkan jatuh cinta kepada puteri yang paling cantik
dari segala yang cantik, yang paling jelita dari segala yang jelita, dan yang
paling harum dari segala yang harum.
Adam a.s dibisikkan oleh
hatinya agar merayu Hawa. Ia berseru: “Aduh, hai si jelita, siapakah gerangan
kekasih ini? Dari manakah datangmu, dan untuk siapakah engkau disini?” Suaranya
sopan, lembut, dan penuh kasih sayang.
“Aku Hawa,” sambutnya ramah.
“Aku dari Pencipta!” suaranya tertegun seketika. “Aku….aku….aku, dijadikan
untukmu!” tekanan suaranya menyakinkan.
Tiada suara yang seindah dan
semerdu itu walaupun berbagai suara merdu dan indah terdengar setiap saat di
dalam syurga. Tetapi suara Hawa….tidak pernah di dengarnya suara sebegitu indah
yang keluar dari bibir mungil si wanita jelita itu. Suaranya membangkit rindu,
gerakan tubuhnya menimbulkan semangat.
Kata-kata yang paling segar
didengar Adam a.s ialah tatkala Hawa mengucapkan terputus-putus:
“Aku….aku….aku, dijadikan untukmu!” Kata-kata itu nikmat, menambah kemesraan
Adam kepada Hawa.
Adam a.s sedar bahawa nikmat
itu datang dari Tuhan dan cintapun datang dari Tuhan. Ia tahu bahawa Allah SWT
itu cantik, suka kepada kecantikan. Jadi, kalau cinta kepada kecantikan
berertilah pula cinta kepada Tuhan. Jadi cinta itu bukan dosa tetapi malah
suatu pengabdian. Dengan mengenali cinta, makrifah kepada Tuhan semakin
mendalam. Cinta kepada Hawa bererti cinta kepada Pencipta. Dengan keyakinan
demikian Adam a.s menjemput Hawa dengan berkata: “Kekasihku, ke marilah
engkau!” Suaranya halus, penuh kemesraan.
“Aku malu!” balas Hawa
seolah-olah menolak. Tangannya, kepalanya, memberi isyarat menolak seraya
memandang Adam dengan penuh ketakjuban.
“Kalau engkau yang inginkan
aku, engkaulah yang ke sini!” Suaranya yang bagaikan irama seolah-olah memberi
harapan.
Adam tidak ragu-ragu. Ia
mengayuh langkah gagah mendatangi Hawa. Maka sejak itulah teradat sudah bahawa
wanita itu didatangi, bukan mendatangi.
Hawa bangkit dari tempat
duduknya, menggeser surut beberapa langkah. Ia sedar bahawa walaupun dirinya
diperuntukkan bagi Adam a.s, namunlah haruslah mempunyai syarat-syarat
tertentu. Di dalam sanubarinya, ia tak dapat menyangkal bahawa iapun terpesona
dan tertarik kepada rupa Adam a.s yang sungguh indah.
Adam a.s tidak putus asa. Ia
tahu itu bukan dosa. Ia tahu membaca isi hati. Ia tahu bukannya Hawa menolak,
tetapi menghindarnya itu memanglah suatu perbuatan wajar dari sikap malu
seorang gadis yang berbudi. Ia tahu bahawa di balik “malu” terselit “rasa
mahu”. Kerananya ia yakin pada dirinya bahawa Hawa diperuntukkan baginya.
Naluri insaninya bergelora.
Tatkala sudah dekat ia pada
Hawa serta hendak mengulurkan tangan sucinya kepadanya, maka tiba-tiba
terdengarlah panggilan ghaib berseru:
“Hai Adam….tahanlah dirimu.
Pergaulanmu dengan Hawa tidak halal kecuali dengan mahar dan menikah!”.
Adam a.s tertegun, balik ke
tempatnya dengan taat. Hawa pun mendengar teguran itu dan hatinya tenteram.
Kedua-dua manusia syurga itu
sama terdiam seolah-olah menunggu perintah.
Perkahwinan Adam dan Hawa
Allah SWT. Yang Maha
Pengasih untuk menyempurnakan nikmatnya lahir dan batin kepada kedua hamba-Nya
yang saling memerlukan itu, segera memerintahkan gadis-gadis bidadari penghuni
syurga untuk menghiasi dan menghibur mempelai perempuan itu serta membawakan
kepadanya hantaran-hantaran berupa perhiasan-perhiasan syurga. Sementara itu
diperintahkan pula kepada malaikat langit untuk berkumpul bersama-sama di bawah
pohon “Syajarah Thuba”, menjadi saksi atas pernikahan Adam dan Hawa.
Diriwayatkan bahawa pada akad
pernikahan itu Allah SWT. berfirman: “Segala puji adalah kepunyaan-Ku, segala
kebesaran adalah pakaian-Ku, segala kemegahan adalah hiasan-Ku dan segala
makhluk adalah hamba-Ku dan di bawah kekuasaan-Ku. Menjadi saksilah kamu hai
para malaikat dan para penghuni langit dan syurga bahawa Aku menikahkan Hawa dengan
Adam, kedua ciptaan-Ku dengan mahar, dan hendaklah keduanya bertahlil dan
bertahmid kepada-Ku!”.
Malaikat dan para bidadari
berdatangan
Setelah akad nikah selesai
berdatanganlah para malaikat dan para bidadari menyebarkan mutiara-mutiara
yaqut dan intan-intan permata kemilau kepada kedua pengantin agung tersebut.
Selesai upacara akad, dihantarlah Adam a.s mendapatkan isterinya di istana
megah yang akan mereka diami.
Hawa
menuntut haknya. Hak yang disyariatkan Tuhan sejak semula.
“Mana mahar?” tanyanya. Ia menolak persentuhan sebelum mahar pemberian ditunaikan dahulu.
“Mana mahar?” tanyanya. Ia menolak persentuhan sebelum mahar pemberian ditunaikan dahulu.
Adam a.s bingung seketika.
Lalu sedar bahawa untuk menerima haruslah sedia memberi. Ia insaf bahawa yang
demikian itu haruslah menjadi kaedah pertama dalam pergaulan hidup.
Sekarang ia sudah mempunyai
kawan. Antara sesama kawan harus ada saling memberi dan saling menerima.
Pemberian pertama pada pernikahan untuk menerima kehalalan ialah mahar. Oleh
kerananya Adam a.s menyedari bahawa tuntutan Hawa untuk menerima mahar adalah
benar.
Mahar perkahwinan Adam
Pergaulan hidup adalah
persahabatan! Dan pergaulan antara lelaki dengan wanita akan berubah menjadi
perkahwinan apabila disertai dengan mahar. Dan kini apakah bentuk mahar yang
harus diberikan?
Itulah yang sedang difikirkan
Adam.
Untuk keluar dari keraguan,
Adam a.s berseru: “Ilahi, Rabbi! Apakah gerangan yang akan kuberikan kepadanya?
Emaskah, intankah, perak atau permata?”.
“Bukan!” kata Tuhan.
“Apakah hamba akan berpuasa
atau solat atau bertasbih untuk-Mu sebagai maharnya?” tanya Adam a.s dengan
penuh pengharapan.
“Bukan!” tegas suara Ghaib.
Adam diam, mententeramkan
jiwanya. Kemudian bermohon dengan tekun: “Kalau begitu tunjukilah hamba-Mu
jalan keluar!”.
Allah SWT. berfirman: “Mahar
Hawa ialah selawat sepuluh kali atas Nabi-Ku, Nabi yang bakal Kubangkit yang
membawa pernyataan dari sifat-sifat-Ku: Muhammad, cincin permata dari para
anbiya’ dan penutup serta penghulu segala Rasul. Ucapkanlah sepuluh kali!”.
Adam a.s merasa lega. Ia
mengucapkan sepuluh kali salawat ke atas Nabi Muhammad SAW. sebagai mahar
kepada isterinya. Suatu mahar yang bernilai spiritual, kerana Nabi Muhammad
SAW adalah rahmatan lil ‘alamin (rahmat bagi seluruh alam).
Hawa
mendengarkannya dan menerimanya sebagai mahar.
“Hai Adam, kini Aku halalkan Hawa bagimu”, perintah Allah, “dan dapatlah ia sebagai isterimu!”.
“Hai Adam, kini Aku halalkan Hawa bagimu”, perintah Allah, “dan dapatlah ia sebagai isterimu!”.
Adam a.s bersyukur lalu
memasuki isterinya dengan ucapan salam. Hawa menyambutnya dengan segala
keterbukaan dan cinta kasih yang seimbang.
Allah SWT. berfirman kepada
mereka:
“Hai Adam, diamlah engkau
bersama isterimu di dalam syurga dan makanlah (serta nikmatilah) apa saja yang
kamu berdua ingini, dan janganlah kamu berdua mendekati pohon ini kerana
(apabila mendekatinya) kamu berdua akan menjadi zalim”. (Al-A’raaf: 19).
Dengan pernikahan ini Adam
a.s tidak lagi merasa kesepian di dalam syurga. Inilah percintaan dan
pernikahan yang pertama dalam sejarah ummat manusia, dan berlangsung di dalam
syurga yang penuh kenikmatan. Iaitu sebuah pernikahan agung yang dihadiri oleh
para bidadari, jin dan disaksikan oleh para malaikat.
Peristiwa pernikahan Adam dan
Hawa terjadi pada hari Jumaat. Entah berapa lama keduanya berdiam di syurga,
hanya Allah SWT yang tahu. Lalu keduanya diperintahkan turun ke bumi. Turun ke
bumi untuk menyebar luaskan keturunan yang akan mengabdi kepada Allah SWT
dengan janji bahawa syurga itu tetap tersedia di hari kemudian bagi hamba-hamba
yang beriman dan beramal soleh.
Firman Allah SWT.:
“Kami berfirman: Turunlah
kamu dari syurga itu. Kemudian jika datang petunjuk-Ku kepadamu, maka
barangsiapa yang mengikuti petunjuk-Ku, nescaya tidak ada kekhuatiran atas
mereka, dan tidak (pula) mereka bersedih hati.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan